Aug 27, 2025 - FASSelangor FC akan menerima kehadiran seteru Pantai Timur daripada Terengganu FC bagi perlawanan keempat saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 8:15 malam.
Daripada lima pertemuan menentang Sang Penyu sebelum ini, skuad Gergasi Merah berjaya memenangi tiga perlawanan (Liga Super ke-23 2023, Piala FA dan Liga Super ke-11 2024/25), satu seri (Liga Super ke-23 2024/25) dan satu kalah sepanjang dua musim 2023 hingga 2025.
Menurut Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, beliau mengharapkan para pemain bangkit dan dapatkan tiga mata menentang Terengganu FC.
“Selepas seri dan kalah minggu lalu, kita perlu bangkit dan bersatu untuk pamerkan persembahan yang terbaik kepada para penyokong dan kelab. Untuk itu, kita telah berusaha keras dalam membuat persiapan bagi aksi #SFCTER. Tiada harapan lain selain mendapatkan kemenangan pada malam ini,” harapan Kinoshi.
Bagi keberadaan pemain, dua pemain tidak dapat bersama pasukan bagi aksi #SFCTER iaitu Mukhairi Ajmal dalam persiapan untuk kembali berlatih bersama pasukan daripada kecederaan ‘hamstring’ dan Haiqal Lau kerana mengalami kecederaan ‘adductor strain’. Selain daripada mereka, pemain-pemain lain bersedia untuk diturunkan bagi perlawanan keempat saingan Liga Super 2025/26.
Pihak Pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan bangkit dan berusaha keras mempertahankan kubu Gergasi Merah. Ayuh, Merah Kuning!
Demi Kebanggaan!